Lokasi: PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS (PAWE) Daerah Alor Gajah MELAKA
Al-Quran adalah bahan bacaan
sepanjang zaman bagi umat Islam, kemukjizatan Al-Quran tidak dapat disangkal
lagi. Walau bagaimanapun, mungkin anda tidak tahu 10 kelebihan membaca Al-Quran
yang direkodkan dalam hadith.
Al-Quran adalah petunjuk dan
cahaya kepada manusia untuk kembali kepada jalan kebenaran. Allah s.w.t
berfirman di dalam Al-Quran:
“Dengan Al-Quran itu Allah
menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang
mengikut keredaan-Nya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita
(kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan
dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (Surah Al-Maidah,
ayat 16)
Kelebihan Al-Quran yang
paling besar untuk sekalian makhluk ia tidak akan hilang dan berubah sehingga
akhir zaman. Tidak seperti kitab-kitab lain yang telah diubah oleh
tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Seperti kitab Zabur, Taurat dan
Injil yang diturunkan untuk Nabi-nabi terdahulu.
Allah s.w.t. berfirman di
dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kamilah yang
menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah
Al-Hijr, ayat 9)
Kelebihan-kelebihan membaca
Al-Quran Al-Karim:
1.Al-Quran sebagai syafaat di
akhirat kelak.
Daripada Abu Umamah r.a
melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bacalah Al-Quran
sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”.
(Hadith Abu Umamah ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, kitab
Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah,
No hadith 252)
2. Al-Quran sebagai pembela.
Daripada Nawwas Bin Sam’an
r.a. telah melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di hari
akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan
isi kandungannya, didahului dengan Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-Imran,
kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan
mengamalkannya”. (Hadith Nawwas bin Sam’an ini direkodkan oleh Imam Muslim
dalam Sahih Muslim, Kitab Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat
Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah, No hadith 253)
3.Orang yang belajar dan
mengajar Al-Quran adalah sebaik-baik amalan.
Daripada Uthman Bin ‘Affan
r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu
orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadith
Uthman bin Affan ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab
Fadhail Al-Quran, Bab Khairukum Min Ta’alum Al-Quran Wa A’lamahu, No hadith
5028)
4. Dua pahala bagi orang yang
susah menyebut dan membaca Al-Quran.
Daripada Aisyah r.a. telah
berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang membaca Al-Quran dan susah
untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadith Aisyah r.a ini
direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Tafsir Al-Quran, Bab
An-Naba:18, No hadith 4937)
5. Allah s.w.t. mengangkat
martabat golongan pembaca Al-Quran.
Daripada Umar Bin Al-Khattab
r.a. Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat
martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab
Al-Quran”. (Hadith Umar bin Al-Khattab ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam
Sahih Muslim)
6. Membaca Al-Quran mendapat
ketenangan.
Daripada Barra’ bin ‘Azib
r.a. telah melaporkan: “Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya
seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya
dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau
pergi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. dan menceritakan peristiwa tersebut maka
baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan
Al-Quran”. (Hadith Barra’ r.a. bin ‘Azib r.a. ini direkodkan oleh Imam Bukhari
dalam Sahih Bukhari, Kitab Fadhail Al-Quran, Bab Fadhlu Surah Al-Kahfi, No
hadith 5011)
7. Membaca dan memperelokkan
bacaan mendapat kebaikan.
Daripada Abdullah Bin ‘Amru
Bin Al-‘As r.a. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Satu masa nanti akan dikatakan
kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah
bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya
tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. (Hadith
Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As ini direkodkan oleh Abu Daud dalam Sunan Abi
Daud, Kitab Tafri’ Abwab Al-Witr, Bab Istihbab At-Tartil Fil Qiraat, No hadith
1464, status hadith ini hasan sahih)
8. Fasih membaca Al-Quran lebih
layak menjadi imam solat Jemaah.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa
Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam
sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran”. (Hadith Ibnu Mas’ud
ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)
9. Setiap satu huruf membaca
Al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.
Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia
berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya
satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak
bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu
huruf dan Mim satu huruf.” (Hadith Ibnu Mas’ud ini direkodkan oleh Ad-Darimi
Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, Kitab Abwab Fadhail Al-Quran, No hadith 2910,
status hadith ini hasan sahih)
10. Memperelokkan suara dengan
Al-Quran.
Daripada Al-Bara’ bin
‘Aazib, Rasulullah s.a.w. bersabda: Hiasilah Al-Quran dengan suara kalian.
(Hadith Al-Bara’ bin ‘Aazib ini direkodkan oleh Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu
Majah, Kitab Iqamat As-Solat Wa Sunnah Fiha, Bab Fi Hasan As-Saut Bil Quran, No
hadith 1342, status hadith ini sahih)
Hadith-hadith di atas
menerangkan kelebihan membaca Al-Quran. Jadi, jelaslah Al-Quran bukan sahaja
mukjizat tetapi memberi kelebihan kepada pembaca-pembaca. Membaca Al-Quran
dengan memahami makna tersurat dan tersirat mampu menyentuh hati dan jiwa
manusia bahkan jin juga terkesan dengan keindahan bait-bait ayat Al-Quran yang
dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. ketika solat.

No comments:
Post a Comment