Tuesday, April 7, 2020

8 TANDA PENYAKIT HATI DALAM DIRI

Oleh: Ustaz Sulaiman Ismail
Lokasi: Surau Al-Baalawi Kg. Dalong Alor Gajah MELAKA



1) Malas melakukan ketaatan dan amal kebaikan. 

Malas menjalankan ibadah, bahkan meremehkannya pula. Contohnya melakukan solat bukan dengan "sengaja' tetapi dengan tidak sengaja dan terpaksa. Jika buat sekalipun tidak khusyuk dan ada kesungguhan. Mereka merasa berat untuk menjalankan ibadah sunnah. Allah berfirman yang bermaksud: 
"Dan mereka tidak mengerjakan solat, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah at-Taubah ayat 54).

2) Tidak tersentuh ayat Al-Quran. 
Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, maka tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk dari membaca al-Quran dan mendengarnya. Sedangkan Allah memperingatkan dalam al-Quran yang bermaksud: "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut kepada ancaman-Ku." 
(Surah Qaaf ayat 45).

3) Tidak tersentuh dengan perkara yang terjadi. 
Tidak tergerak dengan adanya peristiwa yang dapat memberikan pelajaran seperti kematian, sakit, bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai sesuatu yang tidak kaitan dengannya. Nabi bersabda yang bermaksud: "Cukuplah kematian itu sebagai nasihat dan peringatan".

4)Berlebihan mencintai dunia serta melupakan akhirat . 
Semangat dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata. Segala sesuatu diperhitung, dikira berasaskan dunia. Cinta, benci dan hubungan dengan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja seolah hidup hanya untuk dunia dan berakhir di dunia .

5)Berkawan dengan orang yang melakukan maksiat. 
Ini salah satu sebab terbesar yang mempengaruhi kerasnya hati seseorang. Orang yang hidupnya di tengah gelombang kemaksiatan dan kemungkaran, bergaul dengan manusia yang banyak berkubang dalam dosa, banyak bergurau dan tertawa tanpa batasan, banyak mendengar muzik yang melalaikan serta menghabiskan harinya untuk tujuan maksiat.

6)Kemaksiatan yang berterusan. 
Penyakit hati lahir dari kemaksiatan baru akibat kemaksiatan yang dilakukan sebelumnya sehingga menjadi lingkaran syaitan yang sangat sukar bagi seseorang itu melepaskan dirinya.

7)Meremehkan dosa kecil. 
Memang ada dosa kecil dan besar, tetapi perlu diingat semua dosa akan membawa ke neraka. Seperkara yang kita perlu faham, dosa besar bermula dengan dosa kecil, banjir besar bermula dari titis hujan.

8)Tidak peduli sumber makanan.
Orang yang hatinya berpenyakit dan keras ini biasanya kurang prihatin dengan sumber makanan, halal atau haram. Begitu juga dengan syubhat, yang dikira sedap dan enak. Makan di mana pun tidak kira kedai orang Islam atau bukan Islam yang penting sedap dan enak. Begitu juga dengan punca pendapatan, sudah tidak peduli lagi sumber rezeki datang dari mana kerana yang pasti dapat banyak, hidup kaya raya.

JOM amalkan 7 Sunnah Hebat

Oleh: Ustaz Sulaiman Ismail
Lokasi: Masjid Ar-Rasyidin , Masjid Daerah Alor Gajah MELAKA



Dalam kehidupan sehari-hari ada kala kita mungkin telah melampaui batas. Imaginasi kotor, percakapan dan perbuatan yang tidak betul menjadikan kita selalunya semakin jauh dengan Allah SWT. 

Tetapi itulah kita manusia, tak lari dari kesilapan..dan mujurlah Allah selalu membuka pintu taubat kepada kita, agar dapat kita meneruskan perjalanan menuju akhirat dengan lebih berkat. 

Hendaknya kita sekurang-kurangnya selalu menjaga Tujuh Sunnah Nabi setiap hari. 

Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.

Kedua:
Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3Qul, atau ayat qursi.

Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke mesjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat:
Jaga sholat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.

Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.

Keenam:

Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.

Ketujuh:
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah.  Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme...

10 Kelebihan Membaca Al-Quran Yang Mungkin Anda Tidak Tahu

Oleh : Ustaz Sulaiman Ismail
Lokasi: PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS  (PAWE) Daerah Alor Gajah MELAKA




Al-Quran adalah bahan bacaan sepanjang zaman bagi umat Islam, kemukjizatan Al-Quran tidak dapat disangkal lagi. Walau bagaimanapun, mungkin anda tidak tahu 10 kelebihan membaca Al-Quran yang direkodkan dalam hadith.

Al-Quran adalah petunjuk dan cahaya kepada manusia untuk kembali kepada jalan kebenaran. Allah s.w.t berfirman di dalam Al-Quran:

“Dengan Al-Quran itu Allah menunjukkan jalan-jalan keselamatan serta kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredaan-Nya, dan dengannya Tuhan keluarkan mereka dari gelap-gelita (kufur) kepada cahaya (iman) yang terang-benderang, dengan izin-Nya; dan dengannya juga Tuhan menunjukkan mereka ke jalan yang lurus”. (Surah Al-Maidah, ayat 16)

Kelebihan Al-Quran yang paling besar untuk sekalian makhluk ia tidak akan hilang dan berubah sehingga akhir zaman. Tidak seperti kitab-kitab lain yang telah diubah oleh tangan-tangan yang tidak bertanggungjawab. Seperti kitab Zabur, Taurat dan Injil yang diturunkan untuk Nabi-nabi terdahulu.

Allah s.w.t. berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya”. (Surah Al-Hijr, ayat 9)



Kelebihan-kelebihan membaca Al-Quran Al-Karim:

1.Al-Quran sebagai syafaat di akhirat kelak.

Daripada Abu Umamah r.a melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: Bacalah Al-Quran sesungguhnya ia akan datang di hari kiamat sebagai syafaat kepada pembacanya”. (Hadith Abu Umamah ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, kitab Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah, No hadith 252)


2. Al-Quran sebagai pembela.

Daripada Nawwas Bin Sam’an r.a. telah melaporkan: Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: “Di hari akhirat kelak akan didatangkan Al-Quran dan orang yang membaca dan mengamalkan isi kandungannya, didahului dengan Surah Al-Baqarah dan Surah Ali-Imran, kedua-dua surah ini menghujah (mempertahankan) orang yang membaca dan mengamalkannya”. (Hadith Nawwas bin Sam’an ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim, Kitab Solat Al-Musafirin Wal Qasruha, Bab Fadhlu Qiraat Al-Quran Wa Surah Al-Baqarah, No hadith 253)


3.Orang yang belajar dan mengajar Al-Quran adalah sebaik-baik amalan.

Daripada Uthman Bin ‘Affan r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: “Sebaik manusia di antara kamu orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya kepada orang lain”. (Hadith Uthman bin Affan ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Fadhail Al-Quran, Bab Khairukum Min Ta’alum Al-Quran Wa A’lamahu, No hadith 5028)


4. Dua pahala bagi orang yang susah menyebut dan membaca Al-Quran.

Daripada Aisyah r.a. telah berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w.: “Orang yang membaca Al-Quran dan susah untuk menyebut ayatnya ia mendapat dua pahala”. (Hadith Aisyah r.a ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Tafsir Al-Quran, Bab An-Naba:18, No hadith 4937)


5. Allah s.w.t. mengangkat martabat golongan pembaca Al-Quran.

Daripada Umar Bin Al-Khattab r.a. Bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Sesungguhnya Allah mengangkat martabat beberapa golongan dan merendahkan martabat yang lain dengan sebab Al-Quran”. (Hadith Umar bin Al-Khattab ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)


6. Membaca Al-Quran mendapat ketenangan.

Daripada Barra’ bin ‘Azib r.a. telah melaporkan: “Seorang lelaki membaca Surah Al-Kahfi dan di sisinya seekor kuda yang diikat dengan dua tali, maka awan di langit mula melindunginya dan semakin hampir, dan kudanya mula menjauhinya. Apabila menjelang pagi beliau pergi berjumpa Nabi Muhammad s.a.w. dan menceritakan peristiwa tersebut maka baginda bersabda: Itulah (sakinah) ketenangan yang turun disebabkan bacaan Al-Quran”. (Hadith Barra’ r.a. bin ‘Azib r.a. ini direkodkan oleh Imam Bukhari dalam Sahih Bukhari, Kitab Fadhail Al-Quran, Bab Fadhlu Surah Al-Kahfi, No hadith 5011)


7. Membaca dan memperelokkan bacaan mendapat kebaikan.

Daripada Abdullah Bin ‘Amru Bin Al-‘As r.a. Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: “Satu masa nanti akan dikatakan kepada orang yang membaca Al-Quran: Bacalah, perbaikilah dan perelokkanlah bacaan Al-Quran sepertimana engkau memperelokkan urusan di dunia, sesungguhnya tempat engkau akan ditentukan di akhir ayat yang engkau bacakan”. (Hadith Abdullah bin ‘Amru bin Al-‘As ini direkodkan oleh Abu Daud dalam Sunan Abi Daud, Kitab Tafri’ Abwab Al-Witr, Bab Istihbab At-Tartil Fil Qiraat, No hadith 1464, status hadith ini hasan sahih)


8. Fasih membaca Al-Quran lebih layak menjadi imam solat Jemaah.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a bahawa Nabi Muhammad s.a.w. bersabda: Orang yang paling layak mengimami kaum di dalam sembahyang ialah mereka yang terfasih membaca Al-Quran”. (Hadith Ibnu Mas’ud ini direkodkan oleh Imam Muslim dalam Sahih Muslim)


9. Setiap satu huruf membaca Al-Quran akan mendapat sepuluh ganjaran pahala.

Daripada Ibnu Mas’ud r.a. ia berkata: “Barangsiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran maka baginya satu kebaikan, satu kebaikan menyamai dengan sepuluh pahala, aku tidak bermaksud: Alif, Lam, Mim ialah satu huruf, tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf.” (Hadith Ibnu Mas’ud ini direkodkan oleh Ad-Darimi Tirmizi dalam Sunan Tirmizi, Kitab Abwab Fadhail Al-Quran, No hadith 2910, status hadith ini hasan sahih)


10. Memperelokkan suara dengan Al-Quran.

Daripada Al-Bara’ bin ‘Aazib, Rasulullah s.a.w. bersabda: Hiasilah Al-Quran dengan suara kalian. (Hadith Al-Bara’ bin ‘Aazib ini direkodkan oleh Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah, Kitab Iqamat As-Solat Wa Sunnah Fiha, Bab Fi Hasan As-Saut Bil Quran, No hadith 1342, status hadith ini sahih)

Hadith-hadith di atas menerangkan kelebihan membaca Al-Quran. Jadi, jelaslah Al-Quran bukan sahaja mukjizat tetapi memberi kelebihan kepada pembaca-pembaca. Membaca Al-Quran dengan memahami makna tersurat dan tersirat mampu menyentuh hati dan jiwa manusia bahkan jin juga terkesan dengan keindahan bait-bait ayat Al-Quran yang dibacakan oleh Rasulullah s.a.w. ketika solat.